Selasa, 16 November 2010

Diam...APA MAKNANYA?


Salam alaik..

Saya tertarik pada artikel di majalah Solusi, karangan Hj. Zainuddin Ali, isu ke-25.

Beliau mengklasifikasikan DIAM kepada 9 jenis:


DIAM SEMULA JADI

Seorang pemuda menyapa seorang gadis. Namun, responnya hanya tersenyum walau pelbagai cara telah dilakukan. Suatu ketika, gadis tersebut bersuara agak kuat tetapi tidak jelas. Rupa-rupanya gadis tersebut bisu. Inilah yang dikatakan diam semula jadi


DIAM TERPAKSA

Ibu atau bapa menegah anaknya daripada menyampuk cakap orang yang lebih tua daripada mereka.


DIAM BODOH

Kadangkala, jika kita bercakap, nampak seperti bodoh tetapi bila sudah bercakap , conform bodoh (bak kata pensyarah saya, En. Zainudin). Jadi, lebih baik diam.


DIAM MALAS

Orang sebegini biasanya malas untuk mencadangkan sesuatu idea, bimbang mereka akan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakannya. Jadi, lebih baik dia diam.


DIAM MARAH

Diam sebegini adalah bertujuan untuk mengelakkan berlakunya perbalahan atau pertengkaran yang lebih buruk.


DIAM MERAJUK

Kadangkala, pendapat kita mengenai sesuatu perkara, tidak diterima pakai oleh pegawai atasan kita. Akibatnya, timbul ungkapan" kalau bos sahaja yang betul, baik diam sahaja sebab cakap pon dah tak guna."


DIAM KHIANAT

Kadangkala, kita takut untuk menyatakan kebenaran, malah memilih untuk berdiam diri supaya pihak satu lagi dipertanggungjawabkan atas perkara tersebut walhal kita terbabit sama melakukannya.


DIAM SOMBONG

Mungkin disebabkan perbezaan darjat, taraf pendidikan, taraf ekonomi, golongan yang berada pada tahap yang tinggi dalam mana-mana perkara tadi hanya mendiamkan diri jika terdapat golongan bawahan mereka memberikan pendapat. Dia rasa terhina jika dia memberikan layanan kepada mereka dan memilih untuk berdiam sahaja.


DIAM EFEKTIF

Diam ini bertujuan untuk berfikir dan menyusun strategi di samping memusatkan diri terhadap isu ataupun masalah yang timbul. Inilah yang dikatakan 'diam-diam ubi berisi 'dan dapat dilihat melalui kata-kata yang keluar daripada mulutnya.


Oleh itu, jika anda seorang pendiam? jika ya, di mana letaknya anda? Kadangkala, dalam pergaulan, kita juga akan berjumpa dengan manusia yang mempunyai sifat pendiam tetapi jenis pendiam mereka adalah berbeza. Justeru, dapatkah kita kategorikan jenis diam mereka? Mungkin perbincangan ini tidak terlalu penting buat mereka yang berfikiran 'kecil' tetapi amat penting buat mereka yang berfikiran 'besar'. Mungkin, dari sini, anda akan lebih memahami diri dan rakan anda, memperbaiki perkara-perkara tertentu, serta merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama manusia. Diam dan berfikir sebentar merupakan amalan yang sangat baik daripada memberi respon secara melulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan