Hadhrami

Sejauh manakah peranan Hadhrami dalam penyebaran Islam di Asia Tenggara.           

Hadhrami
Orang Hadhrami merupakan orang yang tinggal di Selatan Tanah Arab iaitu selepas runtuhnya empangan Ma’rib di Saba’, Yaman mereka mereka muncul sebagai golongan pelayar. Buktinya melalui penciptaan kapal Dhow. Pada abad ke 10, Yaman merupakan pusat perdagangan yang penting. Selepas abad ke 16, mereka mengisytihar diri mereka Ahli Sunah Wal Jamaah. Menjelang 1926, orang Hadhrami memonopoli perdagangan di Asia Tenggara. Mereka berjaya menjadi saudagar yang kaya dan hasil pendapatan mereka akan dihantar ke kampung halaman. Namun, tindakan kerajaan Singapura yang menahan wang daripada dihantar ke Hadhramaut menyebabkan berlakunya kebuluran (1945-1947).

Masyarakat Hadhrami di Malaysia dan Indonesia dikatakan berasal dari Shibam. Menurut Eng Seng Ho, 5 orang panglima Bugis adalah dari keturunan Arab (Hadhrami) yang merantau di Asia Tenggara dan menjadi pemimpin di Terengganu, Aceh, Bugis, Minangkabau dan Selatan Filipina. Contoh masyarakat Hadhrami di Malaysia dan Indonesia ialah Keluarga al-Attas (pentadbiran kerajaan) , Singapura ialah keluarga al-Sagoff .
Di Indonesia, Wali Songo amat berpengaruh. Mereka terdiri daripada golongan yang diakui sebagai orang Hadhrami berketurunan ahli-bait. Mereka melakukan kegiatan dakwah Islam di Jawa. Contohnya Maulana Malik menyebarkan dakwah bersama Raja Cermin.

Peranan Orang Hadhrami

Berdasarkan teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara, penyebaran Islam berasal dari tiga tempat iaitu India, China dan Tanah Arab.


Kita lihat teori yang pertama kedatangan Islam dari India oleh Snouck Hurgronje . Menurut beliau, para pedagang selatan India terutama dari Gujerat telah datang ke Asia Tenggara bagi menjalankan aktiviti perdagangan dan seterusnya menyebarkan dakwah Islam. Buktinya, terdapat pengaruh India terutama dalam kesenian di Indonesia seperti batu nisan, tugu, candi-candi yang dipahat dengan unsur perhinduan. Secara keseluruhannya, dapat dijelaskan di sini bahawa Islam di Asia Tenggara bukanlah Islam yang sebenar tetapi dipengaruhi oleh unsur Hindu.  Hal ini dapat dibuktikan melalui penggunaan perkataan ‘lebai’ oleh masyarakat Melayu yang membawa maksud orang yang warak tetapi ia berasal dari perkataan ‘Labaigam’ yang bermaksud saudagar. Perkataan ini berasal dari India Selatan.

Namun begitu, terdapat pihak yang mendakwa bahawa sebenarnya pedagang-pedagang dari India ini sebenarnya berasal dari tanah Arab melalui Gujerat dan Malabar. Mereka berdagang dan membawa pendakwah untuk menyebarkan Islam. Jadi, boleh dikatakan bahawa teori ini tidak boleh diterima pakai.



Selain itu, teori yang kedua menyatakan Islam disebarkan ke Asia Tenggara dari China. S.Q.Fatimi dalam bukunya Islam Comes to Malaysia  disebabkan perpindahan orang Islam secara beramai-ramai dari Canton ke kawasan Asia Tenggara. Hal ini ekoran dari pemberontakan yang berlaku di sana sehingga menyebabkan kematian sejumlah lebih dari 150 000 orang Islam. Kesannya, berlakulah penghijrahan orang Islam secara beramai-ramai ke Asia Tenggara seperti Champa dan Terengganu iaitu Kuala berang yang dahulunya dikenali sebagai Fo-Lo-An. Mereka juga berhijrah ke Indonesia seperti Palembang tidak lewat dari abad ke 13.

Namun begitu, terdapat pihak yang mendakwa bahawa mereka ini sebenarnya adalah orang Arab Hadhrami dan mereka berjaya membina penempatan di  Canton sehingga maju dalam ekonomi dan pentadbiran di sana. Hal ini disebabkan wujudnya hubungan diplomatik antara tanah Arab dengan China sejak zaman Khalifah Uthman Bin Affan yang menghantar duta ke sana diikuti dengan zaman Umaiyah dan Abbasiyyah. Menurut Mohd. Redzuan Othman, terdapat 90 duta dihantar ke China pada zaman kerajaan Umaiyah. Tidak hairanlah jika terdapat segelintir daripada mereka yang menetap di sana .Disebabkan berlakunya jurang dalam ekonomi dan pentadbiran antara mereka dengan penduduk setempat, maka penduduk di sana tidak berpuas hati sehingga mencetuskan pemberontakan ketika Zaman Hsi Tsung. Mereka ini datang ke Nusantara dan ada di antaranya berjaya membina kerajaan Goa dan mereka dikenali sebagai masyarakat Bugis.


Teori yang ketiga alah teori penyebaran Islam dari tanah Arab.  Hubungan antara Asia Tenggara dengan Arab dan Parsi telah lama wujud ekoran daripada kegiatan perdagangan yang berlangsung sebelum munculnya Islam di Asia Tenggara. Perdagangan lada dan rempah sangat popular pada ketika itu. Walau bagaimanapun, hubungan perdagangan ini akhirnya bertukar kepada dakwah oleh mubaligh –mubaligh Islam.T.W Arnold pula berpendapat bahawa pedagang Arab menyebarkan Islam sewaktu dominasi kegiatan perdagangan Timur dan Barat.

Menurut Mahayudin Yahya pula, hubungan perdagangan antara Asia Tenggara dengan Yaman berlangsung ekoran kegemaran mereka mendapatkan kapur barus dan kemenyan. Sewaktu berlakunya pertukaran angin monsun, para pedagang ini membina penempatan kecil bagi tujuan perdagangan dengan penduduk tempatan dan ada di antara mereka yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan menyebarkan Islam. Misalnya di Kedah dan Pahang. Di Indonesia pula, terdapat bukti wujudnya perkampungan masyarakat Arab abad ke 7 Masihi di Pantai Sumatera.

Hal ini membuktikan pendapat Syed Naquib al-Attas bahawa penyebaran Islam dari Tanah Arab terbukti apabila berlakunya pengislaman raja di Asia Tenggara ketika dinasti Umayyah dan Abbasiyyah. Misalnya raja Srivijaya di Jambi telah memeluk Islam pada 8 Masihi  dan menamakan kerajaannya sebagai ‘Sribuza Islam’ (Islam Berjaya)

Penggunaan bahasa Melayu yang diambil dari bahasa Arab juga membuktikan kenyataan Syed Naquib al-Attas bahawa pemilihan bahasa ini berbanding Jawa kuno yang mempunyai unsur Hinduisme sangat sesuai untuk penyebaran agama Islam di Asia Tenggara. Misalnya, perkataan Sultan, alam, imam, khalifah telah diasimilasikan dengan bahasa Melayu dan diperkuatkan dengan tulisan jawi.



Jaringan Ulama

Jaringan ini berlaku apabila terdapat pelajar di Asia Tenggara yang belajar di Makkah . Mereka membawa pulang ajaran Tarikat yang dipelajari di sana. Antaranya ialah Tuan Tabal di Kelantan yang membawa masuk ajaran tarikat Ahmadiah. Beliau menerbitkan karya seperti Al Zikrullah. Ajaran ini dibuat secara terbuka dan pernah diundang untuk mengajar di Masjid Muhammadi.

Peranan ahli Sufi

Ahli sufi terdiri daripada ulama tetapi bukan semua ulama adalah ahli sufi. Ahli sufi mula berperanan dalam penyebaran agama Islam selepas berlakunya kejatuhan kerajaan Baghdad oleh orang Moghul pada abad ke 13. Menurut Sejarah Melayu, ahli sufi mula berperanan pada abad ke 16. Pada ketika ini, berlakunya perkembangan ilmu Tarikat. Mereka mendalami ilmu tasawuf dan pakar dalam bidang fiqh dan tauhid.

Antara ahli sufi yang berpengaruh ialah Hamzah Fansuri. Beliau berpengaruh di kerajaan Aceh. Beliau pernah belajar di beberapa pusat pengajian Islam di tanah Arab. Merupakan seorang ahli tasawuf wahdatul wujud . Antara karyanya yang terkenal ialah al–muntahi. Allah dan ciptaan-nya adalah Esa walaupun dilihat dalam bentuk pelbagai. Pengikut beliau ialah Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Beliau terkenal dengan pergerakan tasawuf dan berkait rapat dengan falsafah Melayu Klasik. Beliau menghasilkan kitab-kitab seperti Syarabul Asyiqin. Beliau juga merupakan seorang penyair dan contoh syairnya ialah Syair Perahu. Beliau digelar Bapa Kesusasteraan Melayu  Moden oleh Syed Naquib al-Attas.

Apabila Sultan Iskandar Thani memerintah Aceh, peranan Nuruddin al-Raniri semakin meningkat. Beliau dilantik sebagai Khadi Malik al-Adil. Pada ketika inilah beliau membanteras ajaran Hamzah Fansuri yang dikatakan sesat. Kitab-kitab Hamzah Fansuri juga dibakar. Beliau memegang fahaman Isnainiyatul Wujud yang mempercayai dua kewujudan iaitu Allah dan alam dan makhluk.  Beliau menjadi mujaddid yang terkenal menjelang abad ke 17. Antara peranan beliau ialah menterjemahkan kitab-kitab fiqh ke dalam bahasa Melayu yang dikenali sebagai kitab Jawi. Antara kitab yang paling popular ialah Sirat-al Mustaqim.Isi kandungannya berkisar tentang ibadat seperti solat, puasa, haji dan bersuci.

Abdul Rauf Singkel juga pernah menuntut ilmu di tanah Arab. Beliau pernah berguru dengan seorang ulama Madinah yang terkenal iaitu  Ibrahim al-Kurani. Beliau telah menghasilkan kitab yang meliputi tiga bidang utama iaitu jual beli, perdagangan, perkahwinan dan jenayah. Beliau turut menjadi tulang belakang kepada perkembangan ilmu agama yang diajar di pondok2 yang berperanan sebagai penyebar agama Islam di Asia Tenggara.

Kesimpulan

Sebelum abad ke 16, penyebaran Islam dipelopori oleh orang Hadhrami dari Yaman yang menjalankan aktiviti perdagangan di Asia Tenggara. Namun, mereka bukanlah pihak yang menjalankan aktiviti dakwah tetapi mereka merupakan orang yang bertanggungjawab membawa pendakwah dengan kapal masing-masing setiap kali perjalanan di lakukan. Kebiasaannya, para pendakwah ini akan menetap di Asia Tenggara dan menjalankan peranannya menyebarkan dakwah Islam. Selepas abad ke 16, peranan ulama dan ahli sufi semakin meningkat dan mereka merupakan kalangan penduduk tempatan yang menuntut ilmu di Haramain. Sekembalinya ke tanah air, mereka akan menyebarkan ajaran Tarikat yang dibawa dari guru masing-masing kepada masyarakat setempat.