Ulasan Buku

Tajuk Buku: Budaya Pemikiran Islam:Mesir Malaysia

Bab: Relativisme Pakaian Wanita

Penulis: Ahmad Sunawari Long


1.0  Pendahuluan

Bab dalam buku ini menjelaskan  mengenai relativisme pakaian yang melibatkan dua pandangan tentang perihal berjilbab di Mesir. Satu pihak melihatnya sebagai suruhan agama yang wajib dipatuhi manakala satu pihak lagi meyakini ia sebagai satu adat yang mengongkong kebebasan wanita. Antara dua pertentangan ini, wujud pula pendapat yang ketiga yang menyatakan ia adalah hak peribadi individu tanpa perlukan pendapat orang lain memutuskannya. Penulis turut menekankan bahawa situasi ini berlaku secara bertahap iaitu sebelum zaman kebangkitan Islam antara akhir abad ke 19 hingga pertengahan 1970-an. Pada ketika ini, masyarakat Mesir dipengaruhi oleh Qasim Amin (1863-1908) yang mahukan masyarakat Islam Mesir mencapai kemajuan dan gerakan feminisme Islam yang berpengaruh selepas Perang Dunia Pertama sehingga 1950-an. Namun begitu semenjak pertengahan 1970-an, terutama selepas tercetusnya Revolusi Iran, jilbab telah menjadi fenomena dalam kalangan wanita Islam Mesir.
Sepertimana yang berlaku di Mesir, Malaysia turut terkena tempias dan menghadapi situasi yang sama. Penulis memulakan perbincangannya pada tahun 1950-an dengan mengambil pendapat Haji Nik Muhammad Salleh bin Haji Wan Musa (1920-1971) yang menggalakkan wanita Islam meniru pakaian wanita Barat. Sungguhpun pendapat ini ditolak oleh Majlis Agama Islam Kelantan, tetapi anak muridnya  Razali Yusuf masih meneruskan risalah yang dibawa oleh gurunya. Perbincangan seterusnya menjurus kepada senario yang berlaku pada 1990-an dan tahun 2000 yang melibatkan tindakan pihak kerajaan, pembangkang, mahkamah, institusi pendidikan, badan berkanun, NGO dan pihak tertentu yang memberikan reaksi berbeza terhadap isu jilbab sehingga sesetengahnya menjadi kontroversi dalam kalangan masyarakat. Pada akhir tulisannya, penulis mengimbas kembali senario yang berlaku pada 1970-an apabila masyarakat dunia kembali berpakaian Islam termasuk isteri-isteri tok guru, ustazah dan mahasiswa pengajian Islam walaupun hanya berselendang jarang dan berselubung ‘kain lepas’.

2.0 Ulasan Bab.
Menurut Ahmad Sunawari Long, terdapat beberapa perdebatan mengenai bentuk pakaian dan tahap tudung yang sewajarnya dipakai oleh wanita Islam telah dibincangkan oleh pelbagai ulama dan mereka bersepakat mengenai kewajiban menutup aurat atau tudung (berjilbab) dalam kalangan wanita Islam. Namun, kemunculan golongan feminisme Islam mengenai kewajiban bertudung turut dipertikaikan. Gerakan ini turut mengubah cara berfikir wanita Islam terutama mereka yang tidak mempunyai kefahaman tentang Islam yang sempurna sehingga mereka mengkritik aspek pemakaian hijab.[1]
            Penulis membangkitkan isu mengenai tindakan Huda Sya’rawi yang membuang tudungnya di stesen kereta api Kaherah sebagai tindakan memprotes amalan bertudung yang selama ini menjadi simbol perhambaan terhadap  lelaki. Namun, fakta ini sama sekali disangkal oleh Sidi Gazalba dan Zainab Ismail yang menyatakan bahawa lelaki diciptakan bersifat kuat, gigih berusaha, gagah, kasar dan tahan menghadapi cabaran kesusahan sehari-hari manakala wanita secara fitrahnya dicipta bersifat lemah lembut, pengasih, penyayang, mengalami masa hamil, bernifas dan menyusukan anak. Maka lelaki lah yang bertanggungjawab melindungi wanita yang lemah.[2] Maka menurut mereka, kepimpinan lelaki bermakna pemeliharaan , penjagaan dan pengawasan terhadap wanita demi kebaikan mereka dunia dan akhirat.[3]Jelaslah di sini bahawa wanita bukanlah simbol perhambaan bagi lelaki tetapi merupakan insan yang dilindungi oleh lelaki.
            Tahun1970-an dikatakan sebagai zaman kebangkitan Islam dan trend pemakaian tudung  atau berjilbab telah menjadi fenomena dalam kalangan wanita Islam setelah berlakunya Revolusi Iran. Hal ini dipersetujui oleh Saiful Muzani yang berpendapat bahawa pada akhir tahun 1970-an sehingga tahun 1980-an, peranan Islam di Malaysia mula dilihat secara bersungguh-sungguh kesan daripada isyarat dari revolusi tersebut.[4] Beliau turut berpendapat bahawa  tindakan masyarakat Melayu di Malaysia yang mengabaikan peradaban Islam dalam sejarah mereka yang lalu merupakan suatu penyesalan yang serius.[5]
Ahmad Sunawari Long turut membuktikan pendapat Hassan Ahmad dan Abu Bakar Abdullah [6] bahawa institusi undang-undang Islam telah disempitkan oleh penjajah . Kesannya, terjadi isu Mahkamah Syariah masih belum mampu membuat keputusan yang tepat berkaitan dengan kod pakaian Islam kerana terikat dengan Perlembagaan Persekutuan. Buktinya, kebanyakan kes yang berkaitan pakaian Islam diadili oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.[7] Hal ini menunjukkan kuasa mahkamah Syariah hanyalah terhad kepada urusan kekeluargaan, wakaf, pusaka dan hukuman-hukuman mengenai kesalahan setakat yang diluluskan oleh undang-undang Persekutuan sahaja.[8]
Peranan Sisters In Islam (SIS) turut menjadi isu apabila golongan ini mempertikaikan kewajiban menutup aurat dengan membawa hujah al-Quran dan penulis merasakan bahawa tindakan ini ibarat undur ke belakang. Pendapat ini disokong oleh Sidi Gazalba dan Zainab Ismail,[9] Abdul Halim Abu Syuqqah serta Che Zainon Yusof[10] yang menyatakan terdapat dalil yang mewajibkan wanita Islam menutup aurat agar mereka dikenal sebagai beragama Islam dan berbeza dengan wanita kafir. [11]  Baterah Alias dan Che Zarrina Sa’ari (2006) menyatakan bahawa pertubuhan ini mungkin keliru antara pertembungan budaya dan agama yang berlaku di seluruh dunia sehingga mereka mencampuradukkan nya  menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat.[12]

3.0  Kesimpulan.
Terdapat beberapa isu yang dibangkitkan dalam bab buku ini dan majoritinya saling berkait dan sependapat dengan beberapa penulis lain. Sungguhpun buku ini hanya membincangkan mengenai relativisme pakaian yang dibawa dari Mesir ke Malaysia, namun perbincangan dan isu yang dikemukakan mempunyai hubung kait yang rapat dengan beberapa perkara lain termasuklah undang-undang Islam. Namun, jika dilihat secara keseluruhannya, Mesir banyak mempengaruhi Malaysia dalam isu pemakaian hijab sehingga 1970-an. Selepas itu, Iran mengambil tempat Mesir ketika terjadinya kebangkitan Islam dan pengaruhnya  sehingga ke hari ini.

Bibliografi.
1.      Abdul Halim  Abu Syuqqah. (1997). Kebebasan Wanita. Jakarta:Gema Insani Press.

2.      Abu Bakar Abdullah. (1986). Ke Arah Pelaksanaan Undang-undang Islam di Malaysia:
 Masalah dan Penyelesaiannya. Terengganu: Pustaka Damai

3.      Baterah Alias dan Che Zarrina Sa’ari. (2006). Islam dan Imansipasi Wanita. Kuala Lumpur:
 Universiti Kebangsaan Malaysia

4.      Che Zainon Yusof. (1995). Penyelewengan Wanita Menurut Pandangan Islam. Selangor:
 Pustaka Ilmi

5.      Hassan Ahmad. (2008). Institusi Islam. Pahang: Universiti Malaysia Pahang.

6.      Saiful Muzani. (1993). Pembangunan dan Kebangkitan Islam di Asia Tenggara. Indonesia: PT
 Pustaka LP3ES.

7.      Sidi Gazalba dan Zainab Ismail (peny.). (1995). Dakwah Islamiah Malaysia:Masa Kini. Kuala
 Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
.


[1] Baterah Alias dan Che Zarrina Sa’ari. (2006). Islam dan Imansipasi Wanita. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm. 66
[2] Sidi Gazalba dan Zainab Ismail (peny.). (1995). Dakwah Islamiah Malaysia:Masa Kini. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm. 66
[3] Ibid.
[4] Saiful Muzani. (1993). Pembangunan dan Kebangkitan Islam di Asia Tenggara. Indonesia: PT Pustaka LP3ES. Hlm 289.
[5] Ibid.
[6] Menurut Abu Bakar , undang-undang Islam di Malaysia dipengaruhi oleh Barat ekoran daripada golongan kedua yang tidak mahukan undang-undang Islam dilaksanakan secara menyeluruh. Lihat Abu Bakar Abdullah. (1986). Ke Arah Pelaksanaan Undang-undang Islam di Malaysia: Masalah dan Penyelesaiannya. Terengganu: Pustaka Damai. Hlm. 268-273
[7] Hassan Ahmad. (2008). Institusi Islam. Pahang: Universiti Malaysia Pahang. Hlm 88.
[8] Ibid. Hlm. 88-89
[9] Istilah undur ke belakang juga digunakan oleh  Sidi Gazalba dan Zainab Ismail yang memberikan gambaran bahawa golongan ini cuba kembali ke zaman Jahiliah. Hlm. 65
[10] Beliau turut memasukkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi dalam aspek pakaian oleh wanita Islam. Lihat Che Zainon Yusof.  (1995). Penyelewengan Wanita Menurut Pandangan Islam. Selangor: Pustaka Ilmi. Hlm. 187-188
[11] Abdul Halim  Abu Syuqqah.  (1997). Kebebasan Wanita. Jakarta:Gema Insani Press.
[12] Baterah Alias dan Che Zarrina Sa’ari, (2006). Islam dan Emansipasi Wanita. Hlm. 75.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan