Tuahku...

Anomie
Ketika wang bertakhta
Engkau tunduk pada nilainya
Yang kaya semakin meraja
Yang miskin semakin tercela
Tabir itu menjadi saksi
Kebejatan akhlak insani

Anomie
Perang dimensi baru bermula
Prokolat cendiakawan durjana
Mata kabur mengumpul harta
Imperialist menjadi penguasa
Kapitalist menanam kesumat di dada
Materialist menjadi hamba
Jerat sakrat dunia.

Pembangunan
Apa ertinya
Kalau hanya sekadar luaran
Hukum di langgar
Nepotisme
Kronisme
Bermain wayang
Di pentas terbuka
Dalang bertukar pendusta
Wira entah ke mana
Dicanai kuasa
Rupa-rupanya
pengkhianat bangsa

Di mana puncanya?
Tika agama diheret ke tepi
Ketelusan menjadi mahal
Keadilan menjadi rapuh
Keihklasan menjadi lumpuh
Jati diri geletar dalam petaka
Kebobrokan melanda
Tersungkur di pintu hina

Anomie
Gunting serakah meracik licik dalam lipatan
Si keparat bersorak riang
Memukul gendang kosong amanah
Untung berlipat
Maruah tergadai
Keluarga terkapai
Tenggelam di lumpur dosa

Apa gunanya lagi
Tika nyawa di hujung kerongkong
Terbit penyesalan tidak terhingga
Roda masa tidak tertahan
Rezeki kotor
Dimamah sekian generasi
Tidak dapat dimuntah kembali

Ayuh anak watan
Mari asah pena
Lontarkan kata
Khabarkan suara
Biar semua tahu
Nusa akan punah
kerana
Anomie memusnah

Inilah sajak yang berjaya mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Tanggal Puisi Perangi Rasuah, 
UPSI 2011