Transformasi Fesyen 
Transformasi fesyen budaya Melayu kepada fesyen Barat bermula sebelum Perang Dunia Pertama lagi melalui pengaruh reformasi dari Mesir iaitu anak murid Syeikh Muhammad Abduh, Qasim Amin (1863-1908) bertindak menggesa wanita Islam menanggalkan tudung mereka sebagai prasyarat mencapai kemajuan.[1]  Pengaruh idea reformasi ini terbawa-bawa sehingga ke Malaysia dan Singapura terutama dari kalangan golongan Raja dan Bangsawan .
“…bermula ahli-ahli Johor telah menjadikan pakaian mereka itu berseluar baju kot pantaloon bertopi baldu hitam…Maka pakaian yang demikian itu sangat digemari oleh Duli Yang Maha Mulia Rajanya …”[2]
Kaum perempuannya pula berpakaian gown dan bertopi ala Inggeris.[3] Mereka dikatakan merupakan golongan pertama yang berperasaan ke-Eropah-an dan sanggup meniru tingkah laku dan tabiat semata-mata demi kemajuan walaupun hal tersebut bertentangan dengan agama Islam.[4] Keadaan ini berterusan sehingga selepas Perang Dunia Pertama dengan tindakan Huda Sya’rawi yang berfahaman feminism Islam dan bersepakat dengan rakan-rakannya membuang tudung mereka di stesen keretapi Kaherah dan bermula dari itu, mereka meneruskan usaha menghapuskan pemakaian tudung dalam kalangan wanita Islam.[5]
Selain itu, pengaruh pembaharuan Turki[6]  turut menjadi pendorong kepada golongan masyarakat biasa yang terikut-ikut dengan cara barat yang dibawa melalui akhbar-akhbar dan majalah-majalah yang mempropagandakan istilah ‘kemajuan’ megikut acuan Barat. Antara majalah dan akhbar yang terlibat ialah Al-Hidayah, Al-Ikhwan, Malaya, Bahtra, Saudara, Majlis dan Majalah Guru.[7] Majalah Guru merupakan antara majalah yang popular pada 1930-an menerbitkan artikel-artikel berkaitan reaksi masyarakat Melayu terhadap transformasi fesyen.[8] Majalah Guru yang diterajui oleh Za’ba dan pro-Kaum Muda seolah-olah menerima perubahan yang berlaku di Turki dengan menyiarkan gambar wanita tidak memakai tudung kepala yang memenangi peraduan menyanyi sebagai suatu perjuangan besar memperoleh kebebasan oleh wanita di sana. [9]
“..tidakkah memakai tali leher dan baju “double-breast” itu janggal pada mulanya pada orang yang belum biasa? Mengapa sekarang banyak orang yang sudah suka…”[10]
Kenyataan di atas juga menggambarkan sokongan Za’ba terhadap transformasi fesyen di Malaya. Majlis pula menerbitkan artikel berikut,
“Jika seorang laki-laki memakai cara Barat, dipakailah seluar dan baju putih sepasang ((potongan Eropah)), berkemeja serta bertali leher…tengah-tengah malam buta bertopi pula…”[11]
Maka, secara umumnya, masyarakat pada tahun 1930-an  dikatakan sedang menerima pakaian cara Barat iaitu tali leher, baju “double-breast”, seluar, kemeja putih, bertali leher serta topi.
            Selain daripada itu, digambarkan juga terdapat masyarakat yang meniru pakaian ala barat tetapi masih memasukkan ciri-ciri kemelayuan dalam fesyen yang digayakan. 
“Dan ada yang lebih ganjilnya lagi berseluar panjang ala Barat tetapi berbaju Melayu Teluk Belanga, bersongkok Melayu serta berkasut kayu…Pihak perempuannya pula..berbaju gown separas lutut, bersarung kaki panjang, berkasut tinggi tumit, tetapi bergelang kaki dan tangan serta berkain selendang.”[12]
Hal di atas menggambarkan bahawa gelang kaki dan tangan serta kain selendang amat sinonim dengan masyarakat Melayu dan mereka cuba untuk mengadaptasikan fesyen Barat ke dalam fesyen Melayu.
            Perkara tentang kemajuan menjadi pokok perbincangan sehingga tahun 1950-an apabila Haji  Wan Muhammad Salleh bin Haji Wan Musa (1920-1971) terpengaruh dengan pendapat Qassim bahawa wanita Islam perlu meniru pakaian Barat dan hanya perlu menutup aurat mughalazah (qubul dan dubur) demi mencapai kemajuan.[13] Sehingga 1970-an, masyarakat Melayu Islam yang masih mengamalkan fesyen Barat mula berubah kepada fesyen Islam dalam bentuk berselindang jarang atau berselubung ‘kain lepas’.[14]
Secara keseluruhannya, transformasi fesyen di Malaysia dan Singapura telah berlaku sebelum Perang Dunia Pertama melalui idea reformasi Mesir. Namun, setelah Perang Dunia Pertama, kebangkitan pengaruh  feminism Islam di Turki, Mesir  dan seluruh dunia telah merancakkan lagi proses  transformasi fesyen masyarakat Melayu.


[1] Ahmad Sunawari Long dan Zul’azmi Yaakob (peny.), (2006). Budaya Pemikiran Islam :Mesir-Malaysia. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm. 59-60.
[2] Ta’ak, (1933,Februari, 8). Kejatuhan Melayu yang Berpakaian Barat. Saudara, dicapai atas talian http://mcp.anu.edu.au/N/SK/479.html.
[3] Lim Pui Huen.P., (2009). Johor: Local History, Local Landscapes 1855-1957. Singapura: Straits Times Press.Hlm. 53
[4] _______(1932,September, 28). Kaum Melayu Ini dalam Tuntutan Kemajuannya Terbahagi Kepada Tiga. Saudara, dicapai atas talian http://mcp.anu.edu.au/N/SK/473.html.
[5] Ahmad Sunawari Long dan Zul’azmi Yaakob (peny.) (2006), Budaya Pemikiran Islam :Mesir-Malaysia, hlm. 60
[6] Ketika berlakunya pembaharuan di Turki, Mustafa Kamal telah menggubal undang-undang perkahwinan dan menggalakkan wanita membuka aurat. Lihat Baterah Alias dan Che Zarrina Sa’ari, (2006). Islam dan Imansipasi Wanita. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm. 65.
[7] Mohammad Redzuan Othman ,(2005). Islam dan Masyarakat Melayu: Peranan dan Pengaruh Timur. Selangor: Penerbit Universiti Malaya. Hlm. 141
[8] Ibid.
[9] Ibid. Hlm. 163
[10] _____, (1935, Januari ). Peraturan Menulis Zaman Ini. Majalah Guru, 17-18. Dicapai atas talian http://mcp.anu.edu.au/N/SK/243.html.
[11] Maba, (1935, Januari, 5). Kebanyakan Orang-orang Melayu Kita Suka Ikut-ikutan Tetapi Tidak Menyampai. Majlis , dicapai atas talian http://mcp.anu.edu.au/N/SK/127.html #47
[12] Ibid.
[13] Ahmad Sunawari Long dan Zul’azmi Yaakob (peny.), (2006). Budaya Pemikiran Islam :Mesir-Malaysia. Hlm. 62.
[14] Ibid.Hlm. 65