Selasa, 12 April 2011

Mimpi Siti Khadijah

Salam alaik..

Pada suatu malam, ketika sedang tidur, Siti Khadijah Khuwailid telah bermimpi. Di dalam mimpi tersebut, beliau telah melihat matahari turun dari langit, masuk ke dalam rumahnya serta memancarkan sinar yang terang dan cantik ke merata tempat sehingga tiada sebuah rumahpun di Kota Makkah yang tidak terkena sinar indah matahari tersebut.

Setelah terjaga dari tidur, Khadijah merenung dan memikirkan makna yang tersirat di sebalik mimpi tersebut tetapi gagal. Oleh kerana ingin tahu makna mimpi tersebut, beliau ke rumah bapa saudaranya iaitu Waraqah bin Naufal, seorang pakar dalam menafsirkan mimpi dan ahlul kitab.

"Beritahu saya,apakah makna mimpi itu, bapa"minta Siti Khadijah sebaik kisah mimpinya terluah di hadapan Waraqah bin Naufal.

"Percayalah anakku, pada tafsiran bapa, engkau akan dikurniakan seorang suami tidak lama lagi"

"Benarkah bapa?"

"Ya"

"Siapakah dia?"tanya Khadijah

"Dia adalah seorang Nabi akhir zaman"

Khadijah terkelu sejenak." Nabi itu berasal dari negeri mana, bapa?"soalnya sungguh-sungguh ingin tahu.

"Dari Kota Makkah ini juga" jawab Waraqah.....

*(Petikan teks ini saya ambil daripada Majalah al-Islam Sept 2010)

Berdasarkan teks di atas, mimpi yang dihadapi oleh Khadijah merupakan bermulanya episod tertegaknya syiar Islam sehingga ke segenap pelusuk dunia. Pepatah pernah menyatakan bahawa di sebalik kejayaan seorang lelaki berdiri di belakangnya seorang wanita. Di sebalik kejayaan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Nabi dan Rasul, berdirinya seorang wanita bernama Khadijah yang sanggup bersusah payah dan berkorban segala-galanya demi perjuangan suaminya. Tidak dinafikan terdapat insan-insan lain yang turut sama berjuang bersama-sama Rasulullah. Namun, siapakah yang mula-mula meyakinkan Muhammad s.a.w bahawa berita yang dibawa oleh Jibril di gua Thur itu adalah benar dan baginda memang dipilih untuk menjadi pesuruh Allah. Siapa lagi jika bukan wanita yang bernama Khadijah. Mendengarkan keyakinan yang ditunjukkan oleh Khadijah selepas peristiwa tersebut telah memberikan ketenangan kepada suaminya setelah diselimutkan walhal pada awalnya, insan yang bernama Muhammad ini menggigil ketakutan ketika Jibril menyuruhnya untuk membaca. 

Siapa yang meyakinkan insan ini bahawa yang disampaikan oleh malaikat Jibril itu merupakan wahyu? dari mana Khadijah tahu bahawa itu adalah wahyu jika beliau tidak mendapat petunjuk berdasarkan mimpi tadi? Wahyu hanya diperoleh oleh insan yang dipilih menjadi nabi atau Rasul dan bukan pada sembarangan manusia.Maka tidak hairanlah jika Khadijah tenang dan telahpun bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi situasi tersebut. Hal ini dikukuhkan lagi dengan peribadi suaminya yang sememangnya amat dipercayai dan tinggi peribadi itu. Masakan suaminya hendak mereka-reka cerita mengenai peristiwa di gua Thur kerana baginda amat dipercayai oleh masyarakat setempat.

Selain itu, beliau mungkin beruntung kerana dikurniai bapa saudara yang dapat menafsirkan mimpi beliau. Jika tidak, masakan beliau dapat mengetahui akan berita datangnya seorang Nabi Akhir Zaman ke dalam keluarganya. Jika tidak, mana mungkin beliau ingin menjadi orang pertama yang memeluk Islam sehingga berjaya sedikit sebanyak memberi semangat kepada perjuangan suaminya untuk membawa risalah Allah.

Beliau juga menjadi penyokong kuat dan tulang belakang kepada dakwah yang di sampaikan oleh Rasulullah s.a.w sehinggalah ke akhir hayatnya. Ternyata wanita ini amat disayangi suaminya kerana setelah berkahwin dengan wanita lainpun, Rasulullah s.a.w masih lagi menyebut namanya. 

Satu perkara lain, peristiwa-peristiwa ini menunjukkan betapa hebatnya perancangan Allah terhadap insan-insan pilihan Nya. Khadijah, seorang janda hartawan bertemu jodoh dengan seorang teruna yang tinggi budi pekertinya. Ini adalah hasil rancangan Allah. Jika Khadijah tidak berpisah dengan suami pertamanya, mana mungkin beliau akan berkahwin dengan Muhammad.

Sememangnya, wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Hal ini dapat dibuktikan apabila Khadijah sentiasa menjaga insan-insan yang disayangi oleh suaminya. Halimatun Sa'diah dimuliakan, dan Zaid seorang budak kesayangan nabi dimerdekakan dan dihadiahkan kepada suaminya. Segala hartanya digunakan untuk membantu dakwah suaminya. Ya..sungguh mulia pengobanan seorang wanita bernama Khadijah.

Beliau adalah pencetus kepada kegemilangan Islam sehingga ke hari ini. Ketabahannya dan kecekalannya dalam menghadapi setiap  ujian dan rintangan bersama suaminya ketika peringkat awal dakwah dijalankan menunjukkan betapa Allah maha mengetahui bahawa beliau adalah insan yang paling layak bersama dengan Rasulullah s.a.w saat dan ketika itu. Ketika Khadijah masih hidup, Rasulullah s.a.w tidak mengahwini wanita lain melainkan selepas pemergiannya. Betapa beliau amat dimuliakan dan disayangi.

Beliau merupakan ikon wanita yang patut dicontohi kerana berjaya menempuh dua zaman iaitu zaman Jahiliah yang penuh kegelapan dan zaman Islam yang muncul membawa cahaya kebenaran. Beliau mampu menempuh kedua-dua zaman itu dengan jayanya. Jika ketika sebelum Rasulullah s.a.w mendapat wahyu, beliau berjaya menjadi wanita yang dihormati kerana keturunannya dan kejayaannya dalam perniagaan sehingga menjadi hartawan. Jika setelah tempoh kenabian Nabi Muhammad, beliau berjaya menjadi pendamping dan tunggak kekuatan kepada penyebaran dakwah suaminya dan masyarakat yang telah memeluk Islam. Di samping itu, walau betapa hebatpun tentangan oleh kaum Musyrikin terhadap Islam dan penganutnya, beliau tetap berjaya menghadapi tentangan tersebut dan mengekalkan keyakinannya terhadap risalah Allah. Malah, hartanya juga sanggup dikorbankan demi Islam. 

Sebagai wanita, siapalah kita jika dibandingkan dengan wanita hebat ini...beliau berjaya menempah nama sebagai tokoh wanita yang ulung di dunia dan dijanjikan dengan kurniaan yang tinggi di akhirat. Namun, apakah kita mampu mencontohi wanita hebat ini? Berjaya di dunia DAN akhirat...?

Khadijah menempuh laluan yang sukar untuk berjaya tetapi disebabkan iman yang teguh, beliau berjaya menempah syurga di akhirat...bagaimana dengan kita wahai para muslimah sekalian? Mampukah kita juga menjadi peyokong kepada kejayaan seorang suami suatu saat nanti ? atau mampukah kita menjaga iman dikala dilanda badai ujian yang hebat ?

Semoga semangat seorang Khadijah binti Khuwailid sentiasa berada dalam setiap insan muslimah kita pada hari ini yang tidak goyah dengan dugaan dan cabaran ( modenisasi mahupun globalisasi...)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan