Isnin, 14 Jun 2010

Manisnya Iman

Hadith riwayat Muslim dan Ahmad ....

Rasulullah s.a.w bersabda. Ertinya:

Ada tiga golongan yang mendapat kemanisan iman..

1. Orang yang mencintai Allah dan rasulNya lebih daripada mencintai yang lain.

2. Orang yang cinta kepada seseorang dan dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah.

3. Orang yang paling tidak suka kembali kepada kekufuran, sesudah diselamatkan Allah daripadanya, sebagaimana dia tidak suka dicampakkan ke neraka.


KETERANGAN

Untuk mendapatkan kelazatan iman perlu ada tiga syarat:
PERTAMA

Orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain (kekasih, isteri, anak, kemewahan dan sebagainya). Orang seperti ini akan merasa tenang hidupnya dan merasa nikmat menjalankan perintah agama. Harus diingat, orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi dari segala-galanya lebih mengutamakan panggilan Allah daripada urusan keluarga.


KEDUA





Orang yang mencintai seseorang hanya kerana Allah. Orang yang memiliki rasa kasih sayang akan merasa tenang dan bahagia. Sementara orang yang menyimpan perasaan dendam , bergaduh dengan seseorang akan merasa resah dan menderita. Namun, yang mendapat kemanisan iman ialah orang yang mencintai seseorang kerana Allah. Maksudnya di sini , cinta kepada seseorang bukan kerana harta, pangkat, dan bukan juga kerana keperluan tertentu, tetapi semata-mata kerana Allah. Cintanya kepada seseortang itu hanya kerana dia menjalankan syariat Islam dengan baik. Setelah mencintainya, dia jadikan orang itu seperti saudaranya sendiri. Lebih ramai orang yang dicintai dan disayangi seperti saudara lebih baik lagi. Jika ada perasaan kasih sayang seperti ini, maka tercapailah kemanisan iman.

KETIGA





Orang yang takut kembali kepada kekufuran sebagaimana takut dicampakkan ke neraka. Keadaan ini mungkin terjadi kepada insan yang mengetahui kelebihan berada dalam agama Islam sedangkan mereka yang kafir akan kekal di dalam neraka. Mereka amat bersyukur ditunjukkan masuk Islam.

Hal ini termasuk juga insan yang banyak mengerjakan maksiat kemudian diberi hidayah sehingga insaf. Begitu juga orang yang sebelumnya jahil kemudian mempunyai ilmu agama. Mereka sangat bersyukur diberi keinsafan dan mereka mudah untuk melaksanakan perintah Allah.


Mereka inilah yang merasakan manisnya iman...moga-moga kita juga tergolong antara tiga golongan ini. InsyaAllah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan