Rabu, 30 Jun 2010

Zainab binti Muhammad

Salam alaik....
Mari kita berkenalan dengan puteri sulung Rasulullah yang dikatakan mencintai Islam lebih daripada mencintai suaminya...
Zainab dinikahkan oleh Rasulullah s.a.w sebelum baginda dilantik menjadi utusan Allah s.w.t. dengan Abul 'Ash bin Rabi'. Hasil pernikahan beliau dengan Abul Ash, mereka dikurniakan dengan dua cahaya mata iaitu Ali dan Umamah. Ali meninggal ketika masih kecil sedangkan Umamah tumbuh dewasa dan kemudiannya menikah dengan Ali bin Abi Talib r.a setelah kewafatan Fatimah r.a.
Setelah berumah tangga, Zainab tinggal bersama suaminya. Hingga suatu ketika, beliau mendapat tahu bahawa ayahandanya, Muhammad mendapat kurnia dengan diangkat menjadi Nabi akhir zaman. Zainab mendengarkan keterangan tentang Islam dari ibunya, Khadijah binti Khuwailid. Keterangan ini melembutkan hatinya sekaligus membuatkannya menerima hidayah Islam. Namun begitu, beliau belum lagi memberitahukan hal itu kepada si suami.
Abul ' Ash adalah termasuk golongan musyrik yang menyembah berhala. Pekerjaannya sebagai pedagang menyebabkan zainab sering ditinggalkan di rumah. Sungguhpun beliau mendengar mengenai pengakuan Muhammad sebagai nabi, tetapi beliau tidak mengetahui bahawa isterinya, Zainab telah memeluk Islam pada tahun keenam setelah hijrah Nabi Muhammad s.a.w.
Abul 'Ash pun pergi ke Suriah beserta kafilah2 quraisy untuk berdagang. Ketika nabi mengetahui bahawa ada kafilah dari Quraisy sedang kembali dari Suriah, maka baginda memerintahkan Zaid bin Harithah bersama 313 pasukan muslimin menyerang kafilah ini. Maka dengan izin Allah, Abul Ash termasuk antara pihak yang tertawan oleh tentera muslimin.
Hal ini sampai ke pegetahuan Zainab. Beliau bertindak mengirimkan kalungnya yang diperbuat daripada batu Zafar hadiah daripada ibunya, Khadijah binti Khuwailid. Zafar adalah sebuah gunung yang terdapat di Yaman. Kalung tersebut dihadiahkan kepadanya ketika beliau berkahwin dengan Abul 'Ash. Beliau berhasrat menebus suaminya dengan kalung tersebut. Kalung itu pun sampai ke tangan Rasulullah s.a.w dan baginda segera mengenalinya. Ia mengingatkan baginda pada isterinya yang sangat disayangi, Khadijah.
Baginda berkata ," Seorang mukmin adalah penolong bagi orang mukmin lainnya. Setidaknya mereka memberikan perlindungan. Kita lindungi orang yang dilindungi oleh Zanab. Jika kalian bisa mencari jalan untuk membebaskan Abul 'Ash kepada Zainab dan mengembalikan kalungnya itu kepadanya, maka lakukanlah." Mereka menjawab, "Baik, ya Rasulullah." Maka mereka segera membebaskan Abul 'Ash dan mengembalikan kalung itu kepada Zainab.
Kemudian, Rasulullah s.a.w menyuruh Abul 'Ash agar berjanji membiarkan Zainab bergabung bersama Rasulullah dan permintaan itu dipenuhi. Harta beliau juga dipulangkan semula atas permintaan Zainab. Rasulullah juga melarang Zainab agar tidak mendatangi Abul 'Ash, kerana dia tidak halal bagi Zainab selama dia masih kafir.
Hidayah itu milik Allah. Tidak lama setelah itu, pada bulan Muharam, 7 Hijriah, Abul 'Ash memeluk Islam dan Zainab dikembalikan semula kepadanya, berdasarkan pernikahannya yang pertama.
Begitulah kisah seorang mukminin yang sanggup meninggalkan suami yang kafir (belum memeluk Islam) demi menegakkan syariat Islam. Zainab akhirnya wafat pada 8 Hijriah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan